Pengenalan


Sistem Automasi Bangunan (Building Automation System, BAS) Kampus Kejuruteraan telah mula digunakan pada awal 2002.  Menggunakan teknologi Johnson Control, BAS didatangkan bersama-sama pembangunan kampus baru di Seri Ampangan ini.   Dibina secara rangkaian terpisah (separate network), sistem ini berperanan melalui dua fungsi utama iaitu mengawal (controlling) dan memantau (monitoring). Pada tahun 2004 sistem ini telah dipertingkatkan dengan menambah poin (kawalan dan pemantauan) dan sehingga kini terdapat lebih dari 3,500 poin kesemuanya.

Aplikasi BAS kepada fasiliti antaranya:

  • sistem hawa dingin
  • sistem amaran kebakaran
  • lif
  • papan suis utama dan kotak suis (elektrikal)
  • lampu jalan dan foyer
  • occupancy sensors di dewan kuliah
  • sistem bekalan air
  • loji dan lurang pembentung
  • suhu dan kelembapan (RH) ruang

dan lain-lain lagi.

Matlamat


Tujuan utama penggunaan BAS ialah untuk membolehkan pelbagai fasiliti kampus dikawalselia secara online dan realtime. Dalam era teknologi dan peralatan yang semakin maju dengan penggunaan pemproses mikro yang semakin banyak, BAS menawarkan integrasi penggunaan peralatan kawalan pada satu lokasi (berpusat). Secara tipikalnya juga BAS merupakan satu bidang yang menyumbang ke arah bangunan pintar yang membawa kepada kecekapan dan keselamatan.

Sistem ini juga digunakan untuk menangani pelbagai kekangan yang terdapat pada sistem konvensional.  Contohnya pengunaan suis pemasa (time switch) untuk sistem hawa dingin, lampu dan sebagainya yang  memerlukan staf bertugas pergi ke setiap lokasi untuk membuat setting semula sekiranya berlaku perubahan pada jadual penggunaan, cuti dan sebagainya.  Bagi mengawal suhu pula, sistem konvensional menggunakan pneumatic controllers yang cenderung berubah dari setting asal serta ketidak-upayanya mengekalkan set point dengan perubahan kondisi beban.  Ini bukan sahaja memberi kesan kepada pengguna malah mengambil masa dan gunatenaga yang banyak untuk mengendalikannya.


Manfaat


Antara manfaat dan kelebihan BAS ialah:-

  • Paparan menyeluruh pepasangan fasiliti - BAS membolehkan pelbagai fasiliti dan sub-sistem dilihat dan dipantau secara menyeluruh tanpa perlu menghantar personel memeriksa di lokasi contohnya bagi bacaan suhu, aras air tangki, tekanan, status hawa dingin dan sebagainya. Pemerhatian ke atas pelbagai sub-sistem dalam masa yang singkat membolehkan keputusan yang perlu dan cepat dibuat (jika perlu).
  • Tindakan yang cepat ke atas kerosakan − pemantauan dan sistem amaran BAS membolehkan tindakan dan keputusan yang cepat dibuat contohnya bagi kes terperangkap dalam lif atau kebakaran.  Isyarat dan pesanan dihantar ke sistem dan juga kepada personel yang bertanggungjawab melalui sistem pager.
  • Gunatenaga yang lebih efektif dan bersistematik −  BAS membolehkan jabatan melaksanakan jadual penyenggaraan peralatan berasaskan parameter seperti jam kendalian dan sebagainya.  Ianya bukan sahaja telah memberi mobiliti kepada staf malah telah dapat mengurangkan down time pelbagai peralatan, kecekapan tenaga dan pengoptimaan hayat peralatan.  Penggunaan bilangan pekerja yang kecil secara lebih berkesan ke atas sejumlah besar pepasangan dapat dilakukan.  Dengan adanya sistem amaran, trip permerhatian berkala oleh staf penyenggara dapat dikurangkan.  Sebarang masalah dapat diketahui dan ditangani segera sebelum ianya menjadi bertambah buruk.
  • Penjimatan tenaga dan kos senggaraan alatan –  Strategi-strategi berikut yang diaplikasikan menerusi BAS membantu ke arah matlamat konservasi tenaga serta mengurangkan kos saraan peralatan berbanding kaedah konvensional:-
  • i. Penjadualan peralatan - ON dan OFF peralatan pada masa yang diperlukan sahaja misalnya penggunaan hawa dingin di dewan-dewan kuliah. Fleksibiliti kawalan ini menjimatkan tenaga berbanding menghidupkannya sepanjang hari. Setting dibuat mengikut masa digunakan sahaja. Bagi penggunaan di luar waktu pejabat, misalnya untuk kuliah malam atau acara (event) pada hujung minggu, sistem hawa dingin dapat diprogramkan seperti yang dikehendaki dengan cepat dan mudah. Ianya tidak memerlukan staf tunggu sedia (standby) kecuali pada majlis yang dihadiri VVIP sahaja. Ini secara langsung telah menjimatkan kos bayaran lebih masa (overtime) dan perbatuan (mileage) staf tunggu sedia berbanding menggunakan kaedah konvensional.

    Penjadualan Operasi Penyaman Udara
    ii. Pengoptimaan (mula/berhenti) - Bagi mendapatkan keselesaan suhu pada ruang yang akan digunakan, kaedah konvensional kebiasaannya menetapkan hawa dingin (terutama yang berkapasiti besar) dimulakan 30 minit lebih awal dan diberhentikan 30 minit selepas digunakan. Dengan mengambil kira perubahan beban penyejukan, pengoptimaan ON/OFF menggunakan BAS pada masa yang bertepatan dapat menjimatkan tenaga dan kos saraan peralatan.


    iii. Kitaran tugas (duty cycling) - Pemproses BAS akan mengenalpasti dan menukar kitaran penggunaan peralatan. Ia juga berupaya memberhentikan loji (unloading) apabila suhu di luar menjadi rendah, misalnya pada waktu malam atau hari hujan. Pengitaran membolehkan tempoh masa penggunaan yang sama antara peralatan utama dan tunggu sedia(standby) dan ini dapat mengurangkan penyenggaraan peralatan tersebut. Manfaat yang diperolehi ialah penjimatan tenaga dan pengurangan kos menyenggara.


    iv. Kawalan permintaan - Fungsi ini berperanan mengurangkan permintaan maksima (maximum demand) tenaga melalui shedding loads secara automatik. Program permintaan maksimum dapat menghentikan peralatan yang telah ditentukan dan diketogorikan tidak kritikal apabila penggunaan melonjak. Ini bagi memastikan penggunaan yang rendah dan mengelak dikenakan penalti dan caj elektrik yang lebih tinggi. (Nota: Program ini tidak digunakan secara intensif berdasarkan rekod menunjukkan polar yang seragam dan stabil iaitu pada purata permintaan maksima 4,150 kW berbanding tahap yang dibenarkan pada 6,000 kW. Ianya pernah digunakan untuk membantu Tenaga Nasional mengatasi masalah kestabilan bekalan di luar kampus. Pihak Universiti diminta mengurangkan beban untuk jangkamasa tertentu dan ini dapat dilaksanakan dengan cepat, mudah dan berkesan tanpa menjejaskan operasi kampus secara keseluruhannya)

    v. Rekod dan analisa - Data-data operasi, senggaraan, penggunaan tenaga dan diagnosis masalah direkod dan disimpan. BAS juga merekod penggunaan kuasa keseluruhan fasiliti dan setiap komponen yang ditentukan. Ianya bermanafaat untuk tujuan audit tenaga berkala dan analisa. Antara yang telah dilaksanakan ialah analisa menentukan masa optimun memula/ berhenti sistem hawa dingin, menghidup secara berperingkat bagi mengelak permintaan maksima tanpa mengorbankan keselesaan pengguna dan taburan permintaan beban kampus mengikut lokasi.

Selain dari itu BAS juga menyumbang kepada hasrat mewujudkan bangunan pintar di universiti. Walaupun sukar ditentukan dalam nilai kewangan, manfaat-manfaat ini amat besar kepada jabatan dan universiti amnya.



Panduan Sistem B.A.S disediakan oleh Hasan Basri Abd Karim, Jurutera Elektrik dibantu oleh Sohaimi Asmuni, Pembantu Teknik Elektrik.

Jurutera Elektrik Hasan Basri Abd Karim boleh dihubungi di hasanbasri@eng.usm.my
Pembantu Teknik Elektrik Kanan Sohaimi Asmuni boleh dihubungi di dvmie@eng.usm.my